12:49 PM • Jumaat, Januari 31
LOG MASUK
Perhatian Perhatian, Terima kasih kerana melayari Portal MaNIS 2.0. Portal ini sedang dalam tempoh pengujian bermula 1 Disember 2024 sehingga 31 Januari 2025. Portal ini mungkin akan mengalami gangguan capaian atau memaparkan maklumat yang kurang tepat sepanjang tempoh pengujian ini. Harap maklum dan terima kasih.

Kanak-kanak (Jawi: ‏کانق٢‎‎[1]); juga budak (Jawi: بودق‎[2]) atau anak kecil (Jawi: أنق کچيل‎) ialah manusia yang muda, iaitu seorang yang masih belum mencapai baligh. Peringkat perkembangan manusia adalah sebagaimana bayi, meningkat kanak-kanak, remaja, dewasa, dan akhirnya tua. Istilah kanak-kanak adalah berbeza dengan anak meskipun mempunyai kaitan yang sangat rapat.

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Wikipedia; Akta Kanak-Kanak 2001

Akta Kanak-Kanak 2001 dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2002 bagi melindungi, menjaga, dan memulihkan kanak-kanak, selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Akta ini telah memansuhkan tiga akta yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan telah mengabungkan elemen undang-undang berkaitan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak. Setelah hampir 13 tahun, terdapat keperluan untuk meminda Akta 611 supaya sesuai dengan perubahan isu kanak-kanak masa kini. Pindaan Akta 611 ini berdasarkan kepada:

  1. Keperluan kepada keperluan semasa kanak-kanak termasuk perkembangan dan penyertaan kanak-kanak;
  2. Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC); dan
  3. Selaras dengan komen/cadangan oleh J/K Mengenai Hak Kanak-Kanak, PBB supaya aspek perkembangan dan penyertaan kanak-kanak diambil kira.

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat; Jabatan Pendaftaran Negara

“Anak Pelihara” adalah kanak-kanak yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk pemeliharaan, jagaan dan kawalan oleh ibu bapa peliharaan berdasarkan Seksyen 30 (1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001. Manakala, “Ibu Bapa Peliharaan” adalah individu atau pasangan yang ditawarkan anak pelihara oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penjagaan dan kawalan kanak-kanak tersebut.

BIL.PERKARAPENERANGAN
1.ProsedurPermohonan boleh dibuat secara online atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan (PKMD/J) di tempat pemohon bermaustautin atau tinggal.
2.Syarat-Syarat Permohonan
  1. Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia.
  2. Berusia 25 hingga 60 tahun.
  3. Perkahwinan secara sah (5 tahun ke atas). Perkahwinan yang kurang dari 5 tahun boleh dipertimbangkan jika mempunyai komplikasi kesihatan reproduktif
  4. Bujang boleh memohon dengan syarat perbezaan umur dengan kanak-kanak mestilah lebih 21 tahun. Pemohon bujang lelaki dibenarkan mengambil kanak-kanak lelaki sahaja. 
  5. Bebas dari rekod jenayah dan sihat dari segi mental dan fizikal.
3.Dokumen yang diperlukanGambar passport, kad pengenalan, sijil nikah, dan slip gaji (suami/isteri).

Nota: Penjelasan terperinci boleh dirujuk terus melalui pautan rasmi JKM 

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Akta Pengangkatan 1952 (Akta 253) adalah undang-undang yang mengatur proses pengangkatan anak di Malaysia, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Akta ini menetapkan prosedur, syarat, dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk mengesahkan pengangkatan anak melalui mahkamah.

BIL.PERKARAPENERANGAN
1.Pengangkatan Di Semenanjung Malaysia

Akta Pengangkatan 1952 (Akta 253) mengatur proses pengangkatan anak di Semenanjung Malaysia. Terdapat dua cara pengangkatan:

a) Pendaftaran De Facto (Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253)

Pengangkatan ini adalah di bawah bidang kuasa JPN, ianya terpakai kepada Islam dan bukan Islam dan hanya di Semenanjung Malaysia sahaja. Akta ini bertujuan agar kanak-kanak berada dalam jagaan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum pendaftaran. Permohonan boleh dibuat di Pejabat JPN yang berhampiran.

Layari Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara untuk maklumat lanjut.

b) Pendaftaran Melalui Perintah Mahkamah (Akta pengangkatan 1952 (Akta 257)

 Pengangkatan ini terpakai bagi orang bukan beragama Islam sahaja. Permohonan boleh dibuat melalui firma guaman atau Jabatan Bantuan Guaman. Perintah dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen.

Layari Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara untuk maklumat lanjut.

2.Pengangkatan Di Sabah

Permohonan Pendaftaran anak angkat di Sabah dibuat berdasarkan Ordinan Pengangkatan 1960 (Sabah No.23 Tahun 1960), Native Adoption Regulations 1961 dan Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sabah 2004 dan kaedah-kaedah Mahkamah Syariah Negeri Sabah (amalan dan tatacara pengambilan anak angkat) 2006. Permohonan perlu dilakukan di mahkamah yang sesuai berdasarkan status pemohon (Mahkamah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi, atau Mahkamah Syariah).

Layari Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara untuk maklumat lanjut.

3.Pengangkatan Di Sarawak

Permohonan pengangkatan di negeri Sarawak dibuat berdasarkan Adoption Ordinance 1958 (Sarawak CAP.91) dan Adoption Ordinance (Amendment) 2002 (Chapter A100) yang ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah. Permohonan pengangkatan boleh dibuat di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Negeri Sarawak.

Layari Portal Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara untuk maklumat lanjut.

Nota: Prosedur pendaftaran pengangkatan sama seperti prosedur di bahagian anak pelihara. Klik SINI untuk maklumat lanjut.

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat; Jabatan Pendaftaran Negara

BIL.PERKARAPENERANGAN
1.Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308]Tujuan penggubalan adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan. Terdapat dua (2) kategori taska di bawah akta ini iaitu Taman Asuhan Kanak-Kanak dan Taman Asuhan Kanak-Kanak Berdaftar. 
2.Kategori Taska 

Seksyen 5 Akta 308 memperuntukkan 4 kategori TASKA seperti berikut:

  1. TASKA Institusi: Ditubuhkan oleh pihak swasta dan NGO, menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan
  2. TASKA di Tempat Kerja: Inisiatif untuk kebajikan pekerja dan menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan
  3. TASKA Komuniti: Inisiatif komuniti untuk keluarga berpendapatan rendah, mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan / Negeri dan meneriman 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
  4. TASKA di Rumah: Dijalankan di kediaman sendiri dan menerima 4 hingga 9 orang kanak-kanak dalam jagaan
3.Syarat-Syarat Pendaftaran
  1. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS).
  2. Memenuhi standard minimum Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  3. TASKA memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Tanah dan Survei (Sarawak sahaja)

Nota: Untuk Senarai TASKA berdaftar, sila layari Portal JKM

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Pusat Jagaan yang ditubuhkan sama ada dikendalikan oleh pihak Pertubuhan Kebajikan Sukarela atau swasta memainkan peranan yang penting dalam urusan menangani masalah sosial. Dengan adanya Pusat Jagaan, pelbagai perkhidmatan yang sesuai dapat disediakan mengikut keperluan dan kemampuan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak, orang kurang upaya, wanita serta warga emas.

Pusat Jagaan HarianMenyediakan jagaan harian bagi sekurang-kurangnya 4 orang penghuni, dengan waktu penjagaan minimum 3 jam sehari, 3 hari seminggu.
Pusat Jagaan BerkediamanMenyediakan jagaan yang menerima empat (4) orang atau lebih untuk jagaan sebagai penghuni didalamnya, sama ada menerima upah atau selainnya

Nota: Syarat-syarat penubuhan Pusat Jagaan Kanak-Kanak boleh dirujuk di Portal JKM

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Kursus Asuhan Pertama disediakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada pengusaha pusat jagaan dalam usaha meningkatkan kemahiran pengurusan, pengetahuan keselamatan, dan standard penjagaan kanak-kanak.  Kursus Asuhan PERMATA merupakan kursus yang diwajibkan ke atas pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh bagi menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1988.

BIL.PERKARAPENERANGAN
1.Pengiktirafan Agensi Latihan, Jurulatih Dan Fasilitator Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kap):Peraturan-Peraturan TASKA 2012 di bawah Peraturan 53 dan Peraturan 54, telah memperuntukan bidang kuasa JKM bagi mengiktiraf mana-mana individu, persatuan atau syarikat yang layak untuk menjalankan KAP sebagai agensi latihan, jurulatih dan fasilitator. Untuk mengetahui secara lebih lanjut sila layari portal eZi2Care 
2.Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kap):Kadar Bayaran KAP ditetapkan pada kadar RM800.00 seorang untuk tempoh selama kursus selama 144 jam dan amali 40 jam @ 29 hari sepenuh masa, manakala bagi kursus hujung minggu berlansung dalam tempoh 4 bulan. Peserta KAP boleh membeli Modul Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA yang diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan, UPM dengan harga RM100.00 senaskah melalui Agensi Latihan yang melaksanakan kursus.

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Institusi kanak-kanak di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Malaysia merangkumi beberapa kategori pusat kebajikan yang bertujuan untuk perlindungan, pemulihan, dan penjagaan kanak-kanak. Berikut adalah beberapa jenis institusi yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah KPWKM:

BIL.INSTITUSIPENERANGANTANGGUNGJAWAB
1.Rumah Kanak-Kanak (RKK)

Rumah Kanak-Kanak adalah institusi Tempat Selamat bagi pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 54 (tempat selamat) Akta Kanak-Kanak 2001. RKK ditubuhkan untuk memberi jagaan gantian kepada kanak-kanak disamping menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi serta mental yang sihat dalam suasana kekeluargaan yang harmoni.

Nota: maklumat terperinci berkenaan RKK boleh klik SINI

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
2.Rumah Tunas Harapan (RTH)

Rumah Tunas Harapan (RTH) adalah rumah kanak-kanak sistem berkeluarga yang berperanan memberi jagaan, perlindungan dan kasih sayang dalam suasana sebuah keluarga kepada kanak-kanak yang tidak dapat hidup bersama ibu bapa/ keluarga kandung. Kanak-kanak yang ditempatkan di RTH adalah terdiri daripada kanak-kanak yang keluar daripada Rumah Kanak-kanak, kanak-kanak yatim atau kanak-kanak daripada keluarga bermasalah yang tidak mampu memberi jagaan dan pemeliharaan yang sempurna kepada kanak-kanak.

Nota: maklumat terperinci berkenaan RTH boleh klik SINI 

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
3.Asrama Akhlak 

Asrama Akhlak adalah institusi yang ditubuhkan atau ditetapkan sebagai tempat tinggal bagi kanak-kanak yang dikehendaki tinggal di situ yang ditubuhkan di bawah seksyen 61 (Asrama Akhlak) Akta Kanak-Kanak 2001. Penubuhan adalah untuk memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah (Perintah Percubaan) dan tidak terkawal dan mendidik kanak-kanak membina sikap  positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan ketrampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat.

Nota: maklumat terperinci berkenaan Asrama Akhlak boleh klik SINI

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
4.Sekolah Tunas Bakti

Sekolah Tunas Bakti adalah institusi Sekolah Diluluskan bagi pendidikan, latihan dan penahanan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 65 (sekolah diluluskan) Akta Kanak-Kanak 2001. Ditubuhkan untuk memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dan mendidik kanak-kanak membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan ketrampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat.

Nota: maklumat terperinci berkenaan Sekolah Tunas Bakti boleh klik SINI

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
5.Taman Seri Puteri

Taman Seri Puteri adalah institusi Tempat Perlindungan bagi pemeliharaan dan pemulihan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 55 (tempat perlindungan) Akta Kanak-Kanak 2001. Ditubuhkan untuk memberi perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral atau keruntuhan akhlak dengan memupuk sikap dan nilai yang sesuai dengan norma masyarakat serta memberikan kemahiran yang bersesuaian.

Nota: maklumat terperinci berkenaan Taman Seri Puteri boleh klik SINI

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Pengurusan kes terhadap kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan di bawah Subseksyen 38 (a) hingga (f) Akta Kanak Kanak 2001 adalah bagi kategori kanak-kanak yang diselamatkan akibat terdedah kepada aktiviti bahaya moral. Pengurusan kes terhadap kanak-kanak ini akan dikendalikan oleh Pelindung. Berdasarkan Seksyen 8(1) Akta Kanak-Kanak 2001, Pelindung dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pemberitahuan dalam warta. 

Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 seperti berikut:

  1. Memindahkan Kanak-Kanak ke Tempat Pelindungan
  2. Menjalankan Siasatan
  3. Menghadiri Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK)
  4. Keputusan MBKK

Nota: Maklumat lanjut berkenaan ini boleh dirujuk terus di laman rasmi JKM

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera di bawah Subseksyen di bawah perenggan 41(2)(a) hingga 41(2)(d) Akta Kanak Kanak 2001 adalah bagi kategori kanak-kanak yang terdedah kepada aktiviti bahaya moral serta kanak-kanak yang hamil luar nikah. Pengurusan kes terhadap kanak-kanak ini akan dikendalikan oleh Pelindung. Berdasarkan Seksyen 8(1) Akta Kanak-Kanak 2001, Pelindung dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pemberitahuan dalam warta. 

Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 seperti berikut:

  1. Permohonan Kemasukan ke Tempat Perlindungan
  2. Kemasukan ke Tempat Pelindungan

Nota: Maklumat lanjut berkenaan ini boleh dirujuk terus di laman rasmi JKM

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Subseksyen 2(1) Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan “kanak-kanak ialah seseorang yang di bawah umur 18 tahun”. Kanak-Kanak Tidak Terkawal pula dijelaskan melalui Seksyen 46 dan 47 Akta Kanak-Kanak 2001. Kanak-Kanak Tidak Terkawal boleh ditafsirkan sebagai kanak-kanak yang mula terlibat dalam pergaulan yang tidak sihat. Kanak-Kanak Tidak Terkawal boleh ditahan ke suatu Asrama Akhlak, Pusat, pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai atau pengawasan seorang Pegawai Akhlak atau mana-mana orang yang dilantik oleh Mahkamah melalui permohonan oleh ibu bapa kanak-kanak itu atau pelindung (dalam hal kanak-kanak tidak mempunyai penjaga).

Matlamat Perkhidmatan Pengurusan Kes Kanak-Kanak Tidak Terkawal ialah memastikan kes kanak-kanak tidak terkawal diuruskan dan dikendalikan dengan sistematik dan berkesan. Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan (Akta 574). Berikut merupakan proses kerja bagi pengendalian kes kanak-kanak yang  tidak terkawal:

  1. Menerima permohonan
  2. Semakan akan dibuat sama ada permohonan merupakan kes baharu atau berulang.
  3. Menentukan kesahihan kes dengan menjalankan temu ramah dengan kanak-kanak/ ibu/ bapa/ penjaga
  4. Jika perlu, Perintah Tahanan Sementara daripada MBKK akan dimohon sementara menunggu tarikh pendengaran MBKK.
  5. Temu ramah terhadap kanak-kanak serta ibu/ bapa/ penjaga kanak-kanak akan dilakukan oleh PA bagi penyediaan Laporan Akhlak.
  6. Pada tarikh yang ditetapkan, PA akan hadir ke MBKK bersama kanak-kanak dan ibu/ bapa/ penjaga.
  7. MBKK yang bersidang boleh membuat perintah

Nota: Maklumat lanjut berkenaan ini boleh dirujuk terus di laman rasmi JKM

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Sesiapa sahaja yang mengetahui atau mengesyaki mana-mana kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk didera dan diabai, laporkan kepada pihak polis, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau hubungi Talian Kasih 15999. Setiap kanak-kanak berhak untuk berasa selamat.

Berikut merupakan perkara penting yang perlu dilakukan ketika berlakunya kes penganiayaan disekitar anda:

BIL.PERKARAPENERANGAN
1.Apa yang perlu dilaporkan? 

Laporan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

  1. Nama kanak-kanak
  2. Lokasi/alamat
  3. Sebab-sebab disyaki penderaan
  4. Nama anda dan cara menghubungi, jika boleh, supaya JKM boleh menghubungi semula sekiranya gagal menemui kanak-kanak terbabit.
2.Bagaimana untuk membuat laporan mengenai penderaan?
  1. Melalui Talian Kasih, sila berikan maklumat terperinci berkenaan kes penderaan dan pengabaian yang disyaki supaya pegawai JKM dapat menilai keperluan dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
  2. Melalui hospital, individu yang membawa kanak-kanak ke Jabatan kecemasan/Pesakit luar kerana penderaan, mereka akan terus dirujuk ke Pusat perhentian Setempat (One Stop Crisis Center) di hospital.
  3. Melalui polis, ini amat digalakkan terutamanya bagi kes penderaan seksual supaya membolehkan pegawai perubatan untuk melakukan pemeriksaan fizikal dengan segera terutamanya bagi kes baru yang disyaki penderaan seksual.
3.Siapa yang perlu melaporkan tentang penderaan kanak-kanak?

“Mandated reporters”.

Di bawah undang-undang Malaysia, Akta Kanak-kanak 2001, doktor, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak adalah tiga kumpulan yang dipertanggungjawabkan untuk melaporkan dengan segera jika mengesyaki kanak-kanak telah didera secara fizikal,atau emosi akibat dari penderaan yang teruk, pengabaian, terbiar atau terdedah, atau didera secara seksual kepada pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sekiranya doktor, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak tidak mematuhi dengan melaporkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali (Akta Kanak-kanak 2001, Section 27-29).

Kaunselor, guru dan orang awam juga perlu melaporkan kes penderaan sekiranya kanak-kanak tersebut memberitahu mereka walaupun mereka tidak diwajibkan untuk melaporkannya. Mereka boleh melapor kepada polis juga.

4.Apa akan berlaku selepas laporan dibuat?
  1. Pegawai pelindung atau polis(kalau laporan polis dibuat) akan memulakan siasatan dengan melawat kanak-kanak dan keluarga. Mereka akan membawa kanak-kanak ke hospital untuk penilaian lanjut.
  2. Tujuan awal adalah untuk melindungi kanak-kanak dan memastikan keselamatan mereka.
  3. Di hospital, kanak-kanak dan keluarga akan di nilai dan kanak-kanak tersebut diperiksa sekiranya terdapat kecederaan atau sebarang masalah kesihatan mental.
  4. Sekiranya terdapat penderaan berlaku, perbincangan di antara doktor, pegawai kebajikan, polis dan ahli keluarga yang bukan pendera dilakukan untuk perancangan seterusnya bagi kanak-kanak tersebut.
  5. Sebarang tindakan dan keputusan mestilah yang terbaik untuk kanak-kanak dan bukan semestinya untuk keluarga atau ibu bapa.
  6. Tujuan umum adalah untuk mengembalikan kanak-kanak kepada keluarga dengan penyeliaan berterusan serta terapi keluarga.
  7. Tekanan sosial seperti ketiadaan rumah yang sempurna, tiada pekerjaan, tempat penjagaan kanak-kanak kurang sesuai akan ditangani oleh pegawai kebajikan.
  8. Untuk kes polis, pegawai polis akan membawa pendera ke muka pengadilan bagi mendakwa dan tindakan sewajarnya dilakukan.
5.Apakah yang perlu dilakukan oleh orang awam yang menjumpai bayi yang terdampar?Hubungi pihak polis atau menghantar bayi tersebut ke hospital. Rujuk kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.

 Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat

Berikut merupakan senarai bantuan yang disediakan untuk kanak-kanak:

BIL.BANTUANPENERANGANTANGGUNGJAWAB
1.Bantuan Kanak-Kanak (BKK)

Bantuan Kanak-Kanak bertujuan membantu keluarga atau penjaga supaya kanak-kanak dapat terus tinggal bersama keluarga dan menjalani kehidupan tanpa menjejaskan perkembangan mereka, serta memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga dengan menyediakan jagaan yang sempurna, termasuk kasih sayang dan perhatian.

KADAR: Minimum  sebanyak RM150 sebulan seorang sehingga maksimum sebanyak RM1000 sebulan mengikut pecahan berikut:

  1. RM200 seorang bagi anak berumur 6 tahun & ke bawah;
  2. RM150 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun; dan
  3. Kadar bantuan maksimum RM1000/keluarga sebulan

Nota: Klik SINI untuk maklumat lanjut berkaitan BKK

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
2.Bantuan Khas Awal Persekolahan (BKAP)

BKAP merupakan bantuan tunai secara one off yang diberikan pada awal tahun bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan murid.

KADAR: RM150.00

Nota: Klik SINI untuk maklumat lanjut berkaitan BKAP

Kementerian Pendidikan Malaysia
3.Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK)

Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) ditubuhkan melalui peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].   Mengikut Seksyen 7(1) Akta 611, PKKK ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang dipengerusikan oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tujuan PPKK adalah bagi menyelaraskan perkhidmatan setempat kepada keluarga dan kanak-kanak jika kanak-kanak memerlukan atau disyaki memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.

Nota: Klik SINI untuk maklumat lanjut berkaitan BKAP

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
4.Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK)

Penubuhan PAKK merupakan satu usaha yang menyeluruh dan lebih sistematik dan berkesan dalam usaha mencegah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. PAKK merupakan program / perkhidmatan sokongan anjuran Pasukan Pelindungan Kanak-kanak. PAKK ini ditubuhkan dengan tujuan:

  1. Menganjurkan program dan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan dan perlindungan terutama bagi kanak-kanak yang dianiaya oleh keluarga mereka.
  2. Keanggotaan PAKK terdiri daripada jawatankuasa Kecil yang dilantik oleh Pasukan Pelindungan Kanak-kanak.

Nota: Klik SINI untuk maklumat lanjut berkaitan BKAP

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak
5.Program pemulihan kanak-kanak kekurangan zat makanan (PPKZM)

Setiap kanak-kanak yang memenuhi kriteria kelayakan yang hadir ke klinik kesihatan kerajaan akan menerima bantuan bulanan makanan asas seperti beras, sardin, minyak dan susu tepung serta multivitamin. Kos pakej bantuan sebulan adalah sebanyak RM200 bagi Semenanjung dan RM250 bagi Negeri Sabah/ Sarawak / WP Labuan.

Sila layari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maklumat lanjut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)